Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan akan mengumumkan mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengerjakan ibadah umrah kepada umat Islam di negara ini pada November depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pengumuman itu mengenai SOP penghantaran jemaah umrah dalam suasana norma baharu.

"Kita akan menyusun mekanisme yang sesuai dan selamat untuk jemaah umrah sebelum kerajaan boleh mengumumkan SOP berkenaan untuk menjamin keselamatan jemaah umrah.

"Mekanisme penghantaran jemaah ke tanah suci serta SOP norma baharu bagi mengerjakan ibadah umrah berkenaan akan ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui agensinya, Jabatan Wakaf Haji dan Umrah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PUSPEN Siti Rugayah Ismail dan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rahayu Ahmad.

Sumbangan berkenaan diberikan bagi membolehkan 195 pelatih di pusat itu bercucuk tanam termasuk secara hidroponik.

Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, operasi dan kuota untuk penghantaran jemaah bagi ibadah umrah bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi.

"Kalau Arab Saudi bagi keizinan 100,000 orang jemaah sehari untuk melakukan ibadah umrah, ia satu jumlah yang sangat besar.

"Kita akan mematuhi apa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Barangkali ada pecahan berapa untuk negara Asia, Malaysia dan lain-lain negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah kini dinaikkan kepada 100,000 orang, bermula kelmarin.

DATUK Ahmad Marzuk Shaary (dua kanan) diiringi Siti Rugayah Ismail (kanan) dan Rahayu Ahmad (dua kiri) ketika lawatannya di PUSPEN Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Ahmad Marzuk Shaary (dua kanan) diiringi Siti Rugayah Ismail (kanan) dan Rahayu Ahmad (dua kiri) ketika lawatannya di PUSPEN Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:22 PM