KAWASAN yang terjejas akibat tanah runtuh di Kemensah Height. FOTO arkib NSTP
KAWASAN yang terjejas akibat tanah runtuh di Kemensah Height. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Kemensah dan lain-lain kerja berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, peruntukan itu daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Ia akan digunakan untuk penyediaan laluan masuk, penyediaan platform jentera dan pemasangan cerucuk keping sepanjang 200 meter untuk mengelak kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai berkenaan.

"Kerja ini perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot unit kediaman di kawasan bersebelahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kajian penilaian dan tindakan itu diselaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pada 17 September lalu, kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelungsur yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

Pergerakan aliran air bawah tanah itu mengakibatkan 27 rumah terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 8:15 PM