DATUK Shafien Mamat (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Hanif Hilmi, 29 atas keberaniannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Shafien Mamat (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Hanif Hilmi, 29 atas keberaniannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Berhibur di premis menyediakan karaoke dan menganjurkan pertandingan burung candik antara kesalahan dikesan dilakukan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, penganjuran dua jenis hiburan itu jelas melanggar pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Kita sedia maklum dalam tempoh sekarang masih tidak dibenarkan sebarang aktiviti berkumpul, namun ada juga yang ingkar.

"Sebanyak tujuh kompaun untuk kesalahan berhibur dan satu bagi penganjuran pertandingan burung candik dikeluarkan sejak 9 September lalu hingga semalam," katanya.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Hanif Hilmi, 29, yang membantu polis menahan peragut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Shafien berkata, dalam tempoh hampir dua minggu lalu, sembilan kompaun dikeluarkan terhadap pemilik kedai serta kesalahan rentas negeri tanpa surat kebenaran.

Menurutnya, pihaknya akan membuat pemantauan bagi memastikan pematuhan terhadap SOP dipatuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 4:47 PM