Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Polis Kelantan mengeluarkan 300 kompaun dalam tempoh 18 hari sejak awal Oktober lalu atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

Ketua Polisnya, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, kesalahan paling tinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka dan kegagalan premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan penduduk terhadap SOP mencegah wabak Covid-19 yang kini mencapai 95 peratus.

"Sejak penguatkuasaan semakin diperkasakan, rata-rata penduduk akur dengan SOP, antaranya memakai pelitup muka, mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan memakai cecair pembasmi kuman.

"Tahap pematuhan semakin baik dan ini dapat dilihat menerusi penurunan kompaun yang dikeluarkan sehingga kini.

"Keseluruhannya sejak Mac lalu, 986 kompaun dikeluarkan kerana melanggar PKP," katanya pada sidang media selepas Lawatan Pemantauan SOP Mencegah Covid-19 di Pasar Besar Tasek Raja di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Shafien berkata, perantau yang pulang dari kawasan berisiko juga mempunyai kesedaran dengan melakukan kuarantin kendiri selain patuh arahan mencegah penularan wabak.

Untuk itu, katanya, polis dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain akan terus melakukan pemantauan dan operasi sempena Covid-19 bagi memastikan penduduk patuh sekali gus dapat menghapuskan penularan wabak.

SHAFIEN Mamat (tengah) meminta para peniaga mematuhi prosedur operasi standard PKPP di Pasar Besar Bandar Tasek Raja hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN Mamat (tengah) meminta para peniaga mematuhi prosedur operasi standard PKPP di Pasar Besar Bandar Tasek Raja hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 3:27 PM