Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Penugasan Polis Kelantan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap sama meskipun negeri ini bakal beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuat kuasa esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, tumpuan akan diberikan kepada penganjuran majlis atau kenduri yang dijangka banyak diadakan nanti.

"Kita percaya kenduri akan banyak dianjurkan selepas ini, dan kita bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri akan membuat pemantauan.

"Penugasan masih tetap sama kerana kita melihat di negeri yang sudah beralih kepada fasa empat sekalipun masih ada tindakan yang dikenakan untuk kesalahan pematuhan SOP," katanya ketika sidang media di Dewan Taming Sari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir dalam majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu antara Superintendan Mohd Suhaimi Ali sebagai pemangku menggantikan Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud yang bersara mulai hari ini.

SHAFIEN (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SHAFIEN (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Shafien berkata, walaupun mungkin akan ada kelonggaran dalam SOP fasa empat, orang ramai diingatkan supaya tidak leka kerana masih berdepan cabaran baharu iaitu kewujudan varian Omicron.

Katanya, dari segi pematuhan, rakyat di negeri ini menunjukkan tahap yang sangat tinggi terutama golongan muda sama ada di kawasan bandar serta bandar kecil.

"Dari segi SOP, apa yang negeri di fasa empat guna, itulah yang akan kita guna pakai bermula esok cuma apa yang penting, perlu kekal terhadap pematuhan SOP," katanya.

Dalam perkembangan banjir di negeri ini, berdasarkan jumlah mangsa terkorban agak rendah iaitu empat orang, beliau menyifatkan tahap waspada orang ramai sangat tinggi.

Menurutnya, budaya menjadikan banjir sebagai pesta air juga sudah tidak kelihatan sekali gus membuktikan orang ramai sudah mementingkan keselamatan.

"Jumlah kematian sehingga hari ini masih empat kes dan walaupun kejadian berlaku di waktu banjir tapi tidak bermakna ia korban banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 2:34 PM