ROHAYU menunjukkan kesan serangan penyakit sawan dihidapi anaknya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
ROHAYU menunjukkan kesan serangan penyakit sawan dihidapi anaknya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Syazwan Msar

Shah Alam: “Jika diberikan pilihan, lebih baik saya menanggung segala kesakitannya kerana sebagai ibu, tidak terdaya saya melihat anak cukup terseksa apabila setiap hari diserang sawan,” kata Rohayu Jurema, 35, ibu kepada Qurratul Aini Maisara Mohd Radzi, 10, yang menghidap sawan sejak berusia dua tahun.

Penderitaan kanak-kanak orang kurang upaya masalah pembelajaran itu tidak hanya terhenti di situ apabila doktor mengesahkan dia menghidap jantung dan injap berlubang selain mempunyai ketumbuhan di kepala.

Rohayu berkata, penyakit sawan anaknya itu semakin teruk sejak setahun lalu dan diserang sawan hingga lima kali sehari menyebabkan anak kedua daripada empat beradik itu pengsan atau tidak sedarkan diri.

“Pernah satu ketika secara tiba-tiba Qurratul Aini Maisara hilang hingga menyebabkan saya bersama jiran mencarinya di seluruh kawasan perumahannya. Rupa-rupanya dia diserang sawan lalu terjatuh ke dalam longkang.

“Jika dia diserang sawan, saya sebenarnya tidak sanggup untuk melihat kerana keadaannya begitu teruk dan menyedihkan, lebih-lebih lagi kalau terjatuh hingga menyebabkan kepala bengkak dan bahu serta tangannya patah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Fasa 3, Puncak Alam di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya sebelum ini pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara, pertengahan tahun lalu untuk merawat penyakit jantung berlubang yang menelan belanja RM25,000.

LUKA dialami Qurratul Aini Maisara selepas terjatuh apabila diserang sawan. FOTO NSTP
LUKA dialami Qurratul Aini Maisara selepas terjatuh apabila diserang sawan. FOTO NSTP

“Doktor mengesahkan pula injap jantungnya berlubang dan ketika membuat imbasan pengimejan Resonans Magnetik, doktor mendapati ada ketumbuhan di kepalanya.

“Begitu besar penderitaan ditanggung Qurratul Aini Maisara malah tertanya-tanya jika dia mampu mengharunginya dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Rohayu berkata, Hospital Sungai Buloh bagaikan rumah kedua baginya kerana setiap minggu perlu berulang-alik dari rumah sejauh 50 kilometer untuk mendapatkan rawatan susulan anaknya.

“Saya terpaksa berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada Qurratul Aini Maisara kerana dia memerlukan pemerhatian sepenuhnya kerana bila-bila masa saja boleh diserang sawan.

“Kos keseluruhan untuk rawatan, lampin, susu dan pengangkutan ke hospital mencecah RM1,000 sebulan dan jika diikutkan agak berat bebanan terbabit berikutan hanya suami bekerja sebagai penjual ais kepal dengan pendapatan RM1,500 sebulan,” katanya.

Menurutnya, walaupun serba kekurangan, dia dan suami tetap mencari ikhtiar supaya anaknya sembuh.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan ke akaun Maybank, 162012816885, milik bapa Qurratul Aini Maisara, Mohd Radzi Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 10:11 AM