ZUHDI Mamat menerangkan kaedah pembedahan penggantian aorta akibat koyakan anurisma aorta torasik akut atau ‘acute dissecting thoracic aneurysm'. FOTO ihsan Hospital USM
ZUHDI Mamat menerangkan kaedah pembedahan penggantian aorta akibat koyakan anurisma aorta torasik akut atau ‘acute dissecting thoracic aneurysm'. FOTO ihsan Hospital USM
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya melakukan pembedahan penggantian aorta akibat koyakan anurisma aorta torasik akut atau 'acute dissecting thoracic aneurysm' dengan menggunakan peralatan asas.

Pakar Kardiotorasik Hospital USM, Dr Ahmad Zuhdi Mamat berkata, pada 30 Januari lalu pasukan kardiotorasik Hospital USM melakukan pembedahan melalui prosedur Bentall ke atas seorang pesakit berusia 35 tahun.

Menurutnya, kebiasaannya kes itu akan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana mempunyai kepakaran dan kelengkapan peralatan lebih canggih.

"Bagaimanapun dengan hanya menggunakan peralatan asas, kami mampu melaksanakan pembedahan bagi kes-kes kecemasan sebegini dengan kepakaran dan peralatan yang dimiliki.

"Pembedahan mengambil masa lebih tujuh jam dan ia adalah hasil kerja berpasukan pelbagai disiplin," katanya.

Dr Ahmad Zuhdi berkata, prosedur Bentall kebiasaannya dilakukan ke atas pesakit yang mengalami pembengkakan atau koyakan aorta disebabkan oleh sindrom Marfan, iaitu penyakit genetik yang menyebabkan dinding aorta menjadi lemah dalam kalangan pesakit muda.

Menurutnya, prosedur ini juga membawa risiko tinggi kerana kebanyakan pesakit terpaksa dibedah dalam keadaan kecemasan dan memerlukan keperluan teknikal yang tinggi.

Katanya, ia dilakukan sebagai pembedahan jantung terbuka di mana pesakit diletakkan di bawah bius am dan disambung kepada mesin pintasan jantung dan paru-paru.

"Pakar bedah kemudian menghentikan jantung dan aliran darah diambil-alih oleh mesin jantung.

"Ketika pembedahan dijalankan, mesin berkenaan mengambil-alih sementara fungsi jantung dan paru-paru serta memainkan peranan untuk mengekalkan peredaran darah dan tahap oksigen pesakit.

"Aorta dan injap yang rosak kemudian dibuang dan digantikan dengan cantuman buatan komposit aorta dan injap aorta serta arteri koronari ditanam semula di pangkal aorta tiruan berkenaan," katanya.

Katanya, pihaknya berharap Hospital USM dapat menyediakan peralatan dan insfrastuktur dewan bedah lebih baik seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 1:27 PM