Idzham dan isteri lega selepas anak mereka dibenarkan keluar dari IJN esok. FOTO  Instagram Idzham Ismail
Idzham dan isteri lega selepas anak mereka dibenarkan keluar dari IJN esok. FOTO Instagram Idzham Ismail
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Idzham Ismail bersyukur apabila anaknya, Nur Sofea Inara dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) esok selepas menjalani pembedahan injap utama jantung pada 19 Jun lalu.

Idzham berkata, anak perempuannya yang baru berusia sebulan itu disahkan mengalami transposition great arteries (TGA) selepas dilahirkan pada 24 Mei lalu.

"Saya dan isteri sangat sedih dan tak terkata apabila dimaklumkan anak kami mengalami masalah jantung. Selepas tiga hari, kami dinasihati untuk membawa anak ke IJN bagi membuat pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, anak kami mengalami masalah di bahagian injap jantung. Disebabkan itu doktor menasihati agar segera menjalani pembedahan. Sejak itu anak kami terus dirawat sehingga hari pembedahan.

"Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Insya-Allah anak saya dibenar keluar esok," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Idzham, anaknya juga mulai menunjukkan perubahan baik apabila sudah boleh menerima susu badan seperti biasa.

"Doktor memaklumkan selepas pembedahan ini, anak saya boleh membesar seperti bayi normal lain. Malah saya juga berharap seperti itu.

"Pada masa sama saya berdoa semoga anak saya terus diberi kesihatan yang baik selepas ini. Apa yang penting perlu menjaga pemakanan anak dan isteri," katanya yang menyambut Aidilfitri di IJN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 2:01 PM