Dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 tahun ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan kerana didapati menunggang secara berbahaya di Pantai Remis, Jeram, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 tahun ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan kerana didapati menunggang secara berbahaya di Pantai Remis, Jeram, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Berkumpul untuk menguji kehebatan motosikal masing-masing berhampiran kawasan pantai.

Itu antara aktiviti hujung hujung minggu dilakukan berpuluh `mat rempit' berhampiran Pantai Remis, Jeram di sini. yang diserbu polis dalam operasi khas dilakukan bermula jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, operasi dilakukan anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor yang berjaya memberkas 10 'mat rempit' berusia 15 hingga 23 tahun.

Menurutnya, melalui Operasi Samseng Jalanan itu, dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 tahun ditahan kerana didapati menunggang motosikal secara berbahaya.

"Mereka menunggang motosikal dengan laju dan melakukan aksi 'wheelie' di jalan lurus pantai itu.

"Penunggang bersama pembonceng melakukan 'wheelie' bermula dari kawasan dataran parkir hingga ke simpang menghala jalan utama sejauh kira-kira 200 meter

"Malah kedua-dua mereka tidak memakai topi keledar," katanya tadi.

Beliau berkata, kedua-dua remaja lelaki itu ditahan semasa berhenti di tepi pantai.

"Mereka dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis turut menyita sembilan motosikal selain mengeluarkan 20 saman membabitkan pelbagai kesalahan," katanya.

Ramli berkata, pihaknya memandang serius isu ini dan akan melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan tidak sihat.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja berbahaya kepada diri mereka, malah kepada pengguna jalan raya lain.

"Kami mohon ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak supaya perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:06 PM