DUA individu bersama motosikal masing-masing ditahan polis selepas didapati menunggang secara berbahaya di sekitar Bukit Rotan. FOTO Ihsan PDRM
DUA individu bersama motosikal masing-masing ditahan polis selepas didapati menunggang secara berbahaya di sekitar Bukit Rotan. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Enam lelaki umpama sengaja mencabar maut dengan berlumba haram pada malam sambutan Hari Kebangsaan.

Bagaimanapun, mereka yang berusia 17 hingga 23 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, menerusi Op Samseng Jalanan dijalankan malam tadi hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, dua daripada mereka ditahan atas kesalahan menunggang dalam keadaan berbahaya.

Katanya, dua daripada lelaki terbabit yang berusia 20 dan 22 tahun ditahan di tepi jalan Taman Rajawali di sini, jam 1.30 pagi.

"Terdahulu, pada jam 11 malam, kami mendapati dua-dua individu itu menunggang dari arah lampu isyarat Bukit Rotan di Kilometer 9, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur dan berpatah balik ke jalan yang sama di Kilometer 9.5.

"Mereka menunggang motosikal secara bersaing, dalam keadaan menunduk dan berpatah balik melawan arus selain membuat empat pusingan.

"Kedua-duanya juga tidak memakai topi keledar," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua individu terbabit dibawa ke IPD Kuala Selangor bersama motosikal masing-masing. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada operasi sama, Ramli berkata, pihaknya juga mengeluarkan enam kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain enam saman atas pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:24 PM