GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Iskandar Puteri: Johor bakal menerima 400,640 dos vaksin Covid-19 sumbangan Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sumbangan vaksin diberikan Singapura adalah hasil persahabatan erat antara negeri ini dan republik itu, manakala sumbangan dari UAE adalah hasil usaha mantan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini Menteri Kanan (Pertahanan).

"Pada masa terdekat ini, Singapura akan menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan Johor. UAE pula akan menyumbangkan 300,000 dos vaksin SinoPharm," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, untuk rekod, jumlah vaksin yang telah diterima oleh Johor di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula tarikh permulaan vaksinasi di negeri ini antara tempoh 1 Mac sehingga 5 September lalu, adalah sebanyak 4,713,800 dos.

"Vaksin yang diterima ini merangkumi vaksin Pfizer dengan jumlah sebanyak 2,460,510 dos, vaksin Sinovac sebanyak 1,842,540 dos dan Astrazeneca sebanyak 410,750 dos," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, bagi meringankan beban kerja Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik diambil pelbagai agensi kerajaan.

Katanya, ia termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Dalam aspek pendaftaran program vaksinasi, kerajaan Johor telah menggerakkan sukarelawan Southern Volunteer dan juga program serta kempen dilaksanakan Pejabat Daerah, penghulu dan Jabatan Perpaduan.

"JKNJ juga melancarkan inisiatif Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara virtual bagi mengurangkan kesesakan di semua 11 CAC fizikal yang beroperasi di Johor sekali gus mengurangkan bebanan petugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:18 PM