Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.
Oleh Luqman Arif Abdul Karim


Putrajaya: Prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan mudah difahami akan dikeluarkan, selari peralihan Malaysia memasuki fasa endemik menjelang penghujung Oktober.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, senarai SOP yang 'menggunung' sebelum ini dilihat banyak mengundang kekeliruan dan polemik dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi mengeluarkan garis panduan baharu, menggantikan semua SOP lama.

"Kita akan mulakan usaha memurnikan SOP ini pada minggu depan (minggu ini) dan yakin bahawa akhir September kita akan dapat keluarkan senarai SOP yang lebih mudah untuk difahami.

"Saya rasa sebelum ini terlalu banyak SOP secara pembahagian sektor dan terlalu khusus, sebaliknya ia harus bersifat umum serta terpakai merentasi semua sektor.

"Selain itu, SOP ini harus jelas dengan menggariskan sekiranya pada fasa endemik, ada kawasan yang merekodkan kes penularan, maka kita rujuk kepada garis panduan kategori kedua dan seterusnya, bergantung kepada kadar jangkitan di tempat berkenaan.

"Sekarang, orang membuang masa untuk rujuk senarai SOP yang panjang untuk tahu kedudukan masing-masing," katanya.

Menyentuh prestasi liputan vaksin, Khairy mengakui bahawa sesetengah kawasan mencatatkan kadar melebihi 100 peratus kerana Kementerian Kesihatan menggunakan statistik bancian penduduk yang lama.

Susulan itu, beliau tidak menolak hakikat bahawa perangkaan jumlah penduduk yang digunakan dalam penentuan liputan kadar vaksin di kawasan atau negeri tertentu, sebenarnya berada di 'bawah anggaran'.

"Apa yang kita lihat di Kuala Lumpur dan Lembah Klang hari ini, apabila jumlah mereka yang divaksin melebihi 100 peratus daripada populasi adalah kerana warga asing yang tidak memiliki dokumen dan statistik di bawah anggaran kerana bancian lama.

"Faktor lain yang mungkin menyumbang kepada perangkaan sebegini ialah migrasi atau perpindahan penduduk dari negeri lain ke Lembah Klang, tetapi tidak dicerminkan dalam rekod statistik dulu.

"Ada juga beberapa daerah di Lembah Klang, di mana statistik menunjukkan hanya 80 peratus penduduk yang divaksinasi sehingga kini, namun semakan mendapati tidak ada lagi individu yang belum mendapat suntikan pelalian di sana.

"Di daerah lain, kita lihat kadar vaksinasi naik hingga 120 peratus tetapi kita masih lakukan vaksinasi. Jadi kita hanya boleh menganggap ia kerana warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 6:09 PM