Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seluruh dunia menghadapi kekangan kewangan dan defisit besar sehingga mencecah 15 peratus, bukannya Malaysia sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara pengeluar minyak juga menghadapi masalah itu susulan krisis ekonomi dan kesihatan yang disebabkan Covid-19, hingga perlu berhutang berikutan hasil negara jatuh.

"Itu realitinya hari ini dan perkara ini bukan boleh disorok. Ini cabaran ekonomi terbesar dengan apa yang melanda Malaysia dan negara lain.

"Semua negara menghadapi defisit sehingga 15 peratus dan Malaysia mencatatkan defisit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu enam peratus.

"Kita berhutang disebabkan hasil jatuh dan pada masa sama, keperluan kita meningkat. Kita perlu berbelanja lebih kerana keutamaan kerajaan adalah menjaga keperluan rakyat," katanya pada sidang media di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Mustapa berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan Covid-19.

Katanya lagi, ekonomi negara dijangka pulih pada kadar enam hingga 7.5 peratus tahun ini, didorong kerja keras kerajaan dalam merangka pelbagai strategi pemulihan terutama mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkasakan perusahaan mikro

Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

.

Terdahulu, beliau mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan berhubung Sesi Libat Urus Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Status Pembancian Peringkat Negeri Kelantan.

Mengenai banci, katanya, seramai 15 juta orang atau 46 peratus daripada 32.7 juta anggaran penduduk pada 2020 sudah selesai dibanci, dengan empat negeri mencatatkan kadar respons melebihi 60 peratus.

Negeri itu ialah Wilayah Persekutuan (100 peratus); Johor (65.4); Kelantan (60.9) dan Perak (60.8).

"Lima kaedah bancian digunakan termasuk secara dalam talian, bersemuka menggunakan pen dan kertas, bersemuka menggunakan telefon bimbit dan meninggalkan borang bancian.

"Bancian di kawasan penempatan Orang Asli serta kawasan terpencil di pedalaman Sabah Sarawak dilaksanakan secara bersemuka.

"Kita jangkakan proses bancian dapat disiapkan pada Jun tahun ini sebelum maklumkan lengkap dijangka diperoleh pada Ogos," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:58 PM