GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) diminta menambah tujuh lagi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak dan jangkauan luar di Johor, sebelum akhir bulan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, ia sebagai tambahan kepada 13 PPV bergerak jangkauan luar sedia ada di Johor kini.

Beliau yang juga Pengerusi bersama CITF berkata, penambahan tujuh PPV berkenaan akan menjadikan jumlahnya meningkat kepada 20 di Johor, sekali gus membantu mempercepatkan vaksinasi rakyat negeri ini terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Saya berharap supaya tambahan tujuh PPV bergerak dan jangkauan luar di Johor dapat dilaksanakan sebelum berakhir bulan ini.

"Usaha ini selaras dengan komitmen bagi program jangkauan iaitu mempercepatkalagi proses vaksinasi di negeri yang akan berhadapan musim tengkujuh termasuk Johor.

"Sejumlah 175,360 rakyat Johor sudah menerima suntikan vaksin di 13 PPV bergerak dan jangkauan luar sedia ada dengan seramai 89,263 daripadanya menerima suntikan dos pertama manakala 86,097 sudah lengkap divaksin, sehingga semalam.

"Keseluruhannya sebanyak 261,457 dos vaksin telah diberi di 13 PPV berkenaan dan saya percaya apabila jumlahnya ditambah kepada 20, lebih ramai rakyat Johor di kawasan luar bandar akan dapat divaksin dalam masa terdekat," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin di Austin International Convention Centre, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata, Johor kini adalah negeri kedua menerima bekalan vaksin terbanyak pada bulan lalu dan bulan ini, membabitkan 4.089 juta dos vaksin.

"Setakat ini, Johor mencatatkan sebanyak 83.1 peratus penduduk yang sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama manakala 52.6 peratus penduduk Johor sudah lengkap divaksinasi.

"Kadar purata vaksinasi harian di Johor sepanjang tujuh hari lalu adalah 59,683 suntikan. Manakala sebanyak 59,240 suntikan diberikan pada penduduk Johor, semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 12:59 PM