PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pekan Nenas, yang dibuka mulai jam 11 pagi tadi. FOTO ihsan APM
PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pekan Nenas, yang dibuka mulai jam 11 pagi tadi. FOTO ihsan APM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini ditutup jam 6 petang tadi, selepas keadaan banjir beransur surut dan pulih sepenuhnya.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, dua PPS itu membabitkan Dewan Raya Kg Melayu Batu 10, Skudai serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai.

"Kedua-dua PPS itu pagi tadi, menempatkan 14 individu daripada tiga keluarga.

"Namun, apabila keadaan banjir reda petang tadi, kesemua mangsa banjir memutuskan mahu pulang ke rumah, menyebabkan dua PPS yang dibuka di daerah ini ditutup.

"Bagaimanapun, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di Pekan Nenas, Pontian, kekal dibuka membabitkan seramai 19 mangsa daripada lima keluarga," katanya ketika dihubungi.

Pagi tadi, media melaporkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di Johor hari ini selepas hujan lebat lebih enam jam melanda kebanyakan kawasan di negeri ini.

Kamal dilaporkan berkata, dua daerah terjejas banjir adalah Johor Bahru dan Pontian.

Sementara itu, Kamal berkata, anggota APM masih meneruskan pemantauan di kawasan dinaiki banjir kilat pagi tadi berikutan keadaan cuaca yang masih mendung dan dijangka hujan lebat pada malam ini.

"APM mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat diramalkan turun malam ini.

"Kami berharap penduduk mematuhi arahan termasuk berpindah segera jika kediaman mereka dinaiki air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:24 PM