Anggota APM Pontian memasang khemah khas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pekan Nenas, yang dibuka mulai jam 11 pagi tadi. FOTO ihsan APM
Anggota APM Pontian memasang khemah khas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pekan Nenas, yang dibuka mulai jam 11 pagi tadi. FOTO ihsan APM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di Johor hari ini selepas hujan lebat lebih enam jam melanda kebanyakan kawasan di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, dua daerah terjejas banjir adalah Johor Bahru dan Pontian.

Katanya, tiga PPS yang dibuka itu membabitkan PPS Dewan Raya Kg Melayu Batu 10, Skudai serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai di Johor Bahru manakala sebuah lagi iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di Pontian.

"Jumlah mangsa banjir di dua PPS di Johor Bahru sedang dikemas kini berikutan pertambahan mangsa, manakala mangsa di Pontian membabitkan seramai 19 mangsa daripada lima keluarga.

"Dua PPS di Johor Bahru berkenaan dibuka mulai jam 10 pagi tadi manakala PPS di Pontian dibuka jam 11 pagi tadi.

"PPS Dewan Raya Kg Melayu Batu 10 khas untuk mangsa banjir yang perlu menjalani kuarantin berikutan menjadi kontak rapat kes COVID-19 manakala mangsa banjir yang lain ditempatkan di PPS SMK Skudai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 2:57 PM