GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor menyenaraikan 432 'hotspot' lokasi berisiko banjir di negeri ini susulan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Johorr yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), semalam.

Sehubungan itu, Pengarah APM Johor, Penolong Pesuruhjaya Kamal Mokhtar berkata, 1,000 anggotanya di negeri ini sudah diarahkan bersiap siaga terhadap kemungkinan banjir susulan amaran hujan berterusan tahap merah bermula kelmarin hingga esok.

Katanya, orang ramai boleh merujuk laman Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor bagi melihat senarai kawasan 432 'hotspot' atau lokasi berisiko banjir di 10 daerah negeri ini, sebagai persediaan berhadapan apa jua kemungkinan.

"Semua daerah dengan kawasan kediaman berdekatan sungai serta tempat rendah berisiko dinaiki air bah jika hujan lebat turun secara berterusan lagi seperti semalam.

"Banjir mungkin akan menjadi buruk apabila hujan lebat turun semasa air laut pasang tinggi.

"Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) secara rasmi dibuka walaupun berlaku banjir kilat di Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Kluang dan Tangkak akibat hujan seharian semalam," katanya.

Malam tadi, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya sehingga esok di Johor membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 10:10 AM