MANICKAM (kiri) meninjau PPV Bergerak di Ladang Koh Foh. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MANICKAM (kiri) meninjau PPV Bergerak di Ladang Koh Foh. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Seramai 670 pekerja ladang warga tempatan dari 12 ladang sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang di sini, menerima suntik dos pertama vaksin menerusi Program Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk L Manickam berkata, program bermula Selasa hingga Rabu lalu memberi fokus kepada pekerja ladang yang belum menerima vaksin tetapi sudah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

"Program julung kali ini adalah inisiatif bagi memudahkan penerima mendapat vaksin di kawasan ladang tanpa perlu ke PPV berhampiran.

"Pemberian vaksin hanya membabitkan pekerja ladang warga tempatan manakala bagi warga asing ia akan diuruskan oleh majikan masing-masing," katanya ditemui di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Manickam berkata, selepas dua hari di Ladang Koh Foh, PPVB terbabit berada di pekan Rompin selama dua hari sehingga semalam dengan penerima terdiri daripada penduduk kampung berhampiran di DUN Jeram Padang.

"Seramai 93 masyarakat Orang Asli yang sebelum ini terlepas menerima suntikan turut berbuat demikian sepanjang dua hari program PPVB di Rompin.

"Keseluruhannya selama empat hari program PPVB, seramai 1,600 penduduk termasuk pekerja ladang dan Orang Asli sudah menerima vaksin dos pertama," katanya.

Sebuah bas Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dan sebuah milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digunakan sepanjang empat hari PPVB diadakan dalam usaha mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 12:37 PM