PUSAT Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol dimeriahkan dengan kehadiran Doraemon. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
PUSAT Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol dimeriahkan dengan kehadiran Doraemon. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Biarpun bukan sebagai penerima vaksin, kehadiran Doraemon watak kartun popular kesukaan kanak-kanak ke Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol, Batu Kikir menarik perhatian orang ramai.

Pemakai kostum itu, Nabila Huda Adzhar, 18, mengakui hadir ke PPVB itu bagi menimbulkan suasana ceria terutama kepada petugas dan penerima vaksin.

Dia yang juga antara sukarelawan Pusat Komuniti Desa ( PKD) Kampung Serting Ilir, berkata, kehadiran Doraemon turut mengagihkan air mineral dan roti kepada petugas dan penerima vaksin untuk alas perut.

"Biarpun penat dan terpaksa berpanas memakai kostum yang disediakan PKD, saya gembira kerana kedatangan saya menggembirakan semua orang.

"Saya sudah menerima vaksin dos pertama sebelum ini dan merancang untuk memakai kostum ini ketika menerima suntikan dos kedua nanti," katanya di sini, hari ini.

Nabila Huda berkata, dia juga tidak menyangka, ramai penerima vaksin golongan dewasa turut meminati Doraemon, malah ada dalam kalangan mereka mahu bergambar kenangan.

"Ada juga yang mengusik memberitahu Doraemon tidak payah suntik vaksin, Doraemon sudah kurus dan macam-macam lagi gurauan," katanya.

Sementara itu, Pengurus PKD Kampung Sertung Ilir, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar berkata, kehadiran Doraemon bagi memeriahkan program vaksinasi selain mempromosikan program roda merdeka sempena sambutan bulan kebangsaan 2021.

Katanya program diadakan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Jempol.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun ) Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli; Adun Bahau Teo Kok Seong dan Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohammad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:29 PM