GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kerajaan dicadang supaya turut memberi tumpuan kepada pembantu rumah warga asing untuk menerima suntikan vaksin menerusi pemberian vaksin fasa ketiga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, cadangan itu bukan berniat membelakangkan rakyat Malaysia dalam menerima suntikan ini tetapi disebabkan kebanyakan pembantu rumah tinggal bersama majikan.

Katanya pembantu rumah bukan sahaja menjalankan kerja rutin seperti memasak tetapi turut menjadi pengasuh kepada anak majikan.

"Malah mereka juga turut menjaga orang tua dan orang sakit terlantar seperti diarah majikan.

"Berikutan itu saya berpendapat golongan ini perlu dipertimbangkan dalam senarai penerima fasa ketiga, "katanya dalam satu kenyataan.

Manickam berkata, mereka perlu sihat dan bebas daripada Covid-19 memandangkan tugas mereka berisiko menyebabkan jangkitan berlaku kepada seluruh isi rumah.

Katanya beliau akan turut membawa isu ke pengetahuan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan untuk dibentangkan cadangan ini ke kabinet serta Majlis Keselamatan Negara ( MKN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 1:10 PM