Khairy (dua dari kiri) melihat penduduk Kampung Orang Asli Batu Peti menerima suntikan vaksin ketika mengadakan lawatan ke PPV Bergerak di kampung berkenaan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Khairy (dua dari kiri) melihat penduduk Kampung Orang Asli Batu Peti menerima suntikan vaksin ketika mengadakan lawatan ke PPV Bergerak di kampung berkenaan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seramai 59 peratus daripada penduduk dewasa di negara ini sudah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 setakat hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, 29 peratus penduduk dewasa pula sudah melengkapkan dua dos vaksin.

Katanya, kerajaan turut menyasarkan sebanyak 50 peratus penduduk dewasa di negara ini yang berusia 18 tahun ke atas akan lengkap menerima dua dos vaksin pada 31 Ogos depan.

"Kerajaan juga akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa mengenai pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) 'walk in' di seluruh negeri namun dijangka keutamaan diberi kepada warga emas.

"Pembukaan PPV ini juga bergantung kepada bekalan vaksin namun dijangka semua negeri akan mempunyai PPV 'walk in' khusus kepada warga emas," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di PPV Bergerak di Kampung Orang Asli Batu Peti, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Risda Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang Datuk L Manickam.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kempen penerangan mengenai vaksin kepada Orang Asli berjaya menarik masyarakat berkenaan untuk menerima vaksin berbanding di awal program dahulu.

Katanya, mereka juga yakin dengan vaksin serta mahu menjaga diri dan ahli keluarga melalui perlindungan dengan vaksin.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman mengenai beberapa kelonggaran kepada individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

"Kerajaan sedang memperhalusi draf kelonggaran itu dan akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 2:13 PM