SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pada istiadat pembukaan rasmi persidangan Mesyuarat Pertama Tahun Keempat, Dewan Undangan Negeri Perak Ke-14. FOTO Bernama
SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pada istiadat pembukaan rasmi persidangan Mesyuarat Pertama Tahun Keempat, Dewan Undangan Negeri Perak Ke-14. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang tidak dibenarkan menyertai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bermula hari ini, tetap mengikuti perjalanan majlis tersebut secara dalam talian.

ADUN Slim Mohd Zaidi Aziz berkata, beliau mengikuti istiadat pembukaan sidang itu menerusi laman Facebook Setiausaha Kerajaan Negeri walaupun tidak menghadirinya setelah didapati positif Covid-19.

"Saya sedang menjalani kuarantin di rumah sehingga Selasa depan dan mengikuti persidangan DUN Perak secara dalam talian di laman sosial," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Zaidi, 43, berkata, beliau disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan di Klinik Kesihatan Slim River pada Ahad lalu seperti diarahkan kepada semua ADUN dan petugas sidang DUN Perak namun tidak mengalami sebarang simptom COVID-19 dan kesihatan keluarganya juga dalam keadaan baik.

Mohd Zaidi antara tiga ADUN yang tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula hari ini atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan status tiga ADUN tersebut iaitu positif Covid-19, kontak rapat dan belum menerima vaksin.

Sementara itu, ADUN Kepayang Dr Ko Chung Sen berkata, walaupun beliau dikesan sebagai kontak rapat, namun beliau masih mengikuti persidangan menerusi media sosial seperti Facebook yang banyak membantunya mendapatkan perkembangan terkini.

"Saya menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari sehingga Sabtu ini dan akan mungkin akan menghadiri persidangan DUN Perak selama sehari pada Isnin nanti," katanya yang dikesan sebagai kontak rapat kepada rakan sekerjanya di sebuah hospital swasta yang disahkan positif Covid-19 pada Rabu lalu.

ADUN Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Muhamad pula menjelaskan beliau sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum lengkap seperti disyaratkan kerana tidak melebihi 14 hari.

"Bukan belum vaksin, cuma belum lengkap seperti ditetapkan MKN dan KKM. Soalan untuk diajukan ketika sidang DUN boleh diajukan secara bertulis," katanya yang turut mengikuti persidangan tersebut di media sosial.

Sebelum ini dilaporkan, konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri akan diguna pakai dalam Persidangan DUN Perak yang bermula hari ini dan pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 di negeri ini dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi individu yang terlibat dengan persidangan.

Bagi meminimumkan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 4:42 PM