DEWAN Undang Negeri (DUN) Perak. FOTO Ihsan SUK Perak
DEWAN Undang Negeri (DUN) Perak. FOTO Ihsan SUK Perak
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Persidangan Dewan Undang Negeri (DUN) Perak akan tetap diteruskan pada 25 Ogos ini walaupun terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belum divaksin.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, persidangan akan tetap diteruskan dengan dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, memang ada seorang ADUN yang belum divaksin dan pihaknya mengambil langkah menyediakan bilik khas untuknya.

"Sidang DUN ini selain daripada kita menggunakan dewan utama itu, kita juga sudah mewartakan beberapa buah bilik untuk ADUN mengikuti persidangan.

"ADUN yang berkenaan boleh berada dalam bilik berkenaan untuk tujuan penjarakan.

"Setakat ini ADUN berkenaan belum memberi jawapan kenapa dirinya belum divaksin," katanya.

Saarani berkata, Persidangan DUN itu tidak akan ditangguhkan buat masa ini dan menggunakan kaedah gelembung.

"Kita sudah membuat segala persiapan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengadakan beberapa sesi taklimat dan setakat ini kita yakin boleh meneruskan sidang berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:52 PM