Nuraliawati Sabri


Melaka: Wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas kesalahan mencederakan anak kandungnya dalam kejadian dua minggu lalu.

Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, dan Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh sementara menunggu fakta kes.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama mendedahkan mangsa yang berusia lima tahun kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera terhadap kanak-kanak perempuan itu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bandar Hilir, jam 11.30 pagi pada 14 Ogos lalu.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan kerana mereka tidak bekerja.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Maziah Joary kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan syarat tambahan mereka dilarang mendekati mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 29 September depan tarikh untuk fakta dan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh selain melapor diri di balai polis berhampiran.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang disyaki didera ibu kandung dan teman lelaki wanita itu di Bandar Hilir di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 12:47 PM