Suzalina Halid

Selayang: Wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan membunuh cucu saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) di Gombak, dekat sini, akhir Disember lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Ipzuma Ambo, 55, yang bekerja sebagai pembantu rumah, dituduh dengan niat membunuh anak saudara berusia lima tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di alamat bernombor 28, lot 2195, Lorong Malion dua, Kampung Sungai Chin Chin, Gombak, dekat sini antara 12.01 pagi 28 Disember hingga 8.10 malam 30 Disember.

Ipzuma dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Sementara itu, bapa mangsa turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan secara menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh badan anaknya.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Maziah Joary Mohd Tajudin.

Berdasarkan pertuduhan, bapa mangsa dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman sama di antara 1 Januari hingga 30 Disember 2020 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boeh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Asyraf Hamzah
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Asyraf Hamzah

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Prosiding kes bagi kedua-dua kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 kepada bapa mangsa dengan syarat tertuduh harus melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula bagi kedua-dua kes itu pada 18 Februari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia lima tahun disepak dan ditendang sehingga usus pecah oleh suspek sejak tinggal bersama pada 2017.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di Kampung Sungai Chinchin pada 7 malam, 30 Disember lalu sebelum ambulans dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 12:19 PM