TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas membuat pengakuan tidak bersalah.  FOTO Nuraliawati Sabri
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas membuat pengakuan tidak bersalah. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua anak perempuan kembarnya.

Tertuduh yang berusia 65 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan terhadapnya sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu dengan menunjukkan video lucah di dalam telefon bimbitnya kepada dua anak perempuan yang berusia 16 tahun lima bulan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Pulau Gadung pada bulan April dan Mei 2021.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) akta sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama pada jam 10 pagi, 6 Jun 2021 dan 8 malam keesokannya di lokasi sama.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 selain menetapkan 29 November depan tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:57 PM