GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine, 12 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh, Esmatul Faizatul Iskandar, 23; Muhammad Khairul Anwar Mohd Ismail, 22; Muhammad Harraz Izzat Mat Bedin, 23 dan Muhammad Taufiq Mat Suki, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya disyaki jenis Methamphetamine seberat 50 gram (anggaran berat kasar) di sebuah rumah di inap desa di Kuala Nerus, pada 12.15 tengah malam.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) akta sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Nordiana menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Ahmad Syahmi Amran.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan 17 individu termasuk dua remaja bawah umur kerana menyertai parti liar di sebuah inap desa di Kuala Nerus.

Ketika serbuan, kesemua suspek termasuk empat perempuan berada dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah sehingga tidak menyedari kehadiran polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:57 PM