Keadaan sisa kayu balak yang memenuhi Sungai Baleh dan mengalir ke bahagian hilir sungai berkenaan termasuk sungai utamanya Sungai Batang Rajang sejak semalam. FOTO ERIKA GEORGE
Keadaan sisa kayu balak yang memenuhi Sungai Baleh dan mengalir ke bahagian hilir sungai berkenaan termasuk sungai utamanya Sungai Batang Rajang sejak semalam. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Kapit: Kejadian longgokan sisa-sisa kayu balak hanyut di Sungai Baleh di sini, yang menjadi mimpi ngeri penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan 10 tahun lalu berlaku lagi semalam.

Sejak semalam, tsunami sisa kayu balak terbabit hanyut ke hilir Sungai Batang Rajang termasuk Bahagian Kapit.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, fenomena sisa kayu balak hanyut itu amat dikesali kerana ia bukan sahaja menjejaskan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai, dalam masa sama membunuh pelbagai spesis hidupan dalam Sungai Baleh dan Sungai Batang Rajang.

"Insiden 10 tahun lalu berulang apabila sisa-sisa kayu balak memenuhi Sungai Balleh dan menjejaskan penduduk serta semua ekosistem sepanjang sungai itu," katanya.

Justeru, Masing mengarahkan supaya lesen pembalakan di kawasan Sungai Baleh ditarik balik dan tidak wajar diperbaharui kerana ia mendatangkan impak yang cukup buruk buat Sungai Baleh yang menjadi nadi utama kehidupan penduduk di sepanjang sungai berkenaan.

Beliau dalam masa sama turut melahirkan rasa khuatir bahawa longgokan sisa balak itu akan menjejaskan tapak pembinaan Empangan Hidroelektrik Balleh yang sedang giat dilaksanakan ketika ini.

"Aktiviti pembalakan tanpa kawalan ini amat kita kesali kerana memberikan impak yang cukup besar terhadap ekosistem yang terdapat di Sungai Baleh dan Sungai Batang Rajang," katanya.

Dalam kejadian pada 2010, hulu Sungai Melatai di Baleh turut mengalami tsunami sisa balak akibat pembalakan tanpa kawalan yang mana sisa kayu balak hanyut ke kawasan hilir sungai selepas berlaku hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 5:33 PM