SISA-SISA kayu yang hanyut dari Batang Baleh dan menjejaskan laluan di sepanjang sungai Batang Rajang. FOTO Melvin Joni
SISA-SISA kayu yang hanyut dari Batang Baleh dan menjejaskan laluan di sepanjang sungai Batang Rajang. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Longgokan kayu hanyut dari sungai Batang Baleh adalah sisa daripada pembersihan tanah di kawasan Empangan Hidroelektrik Baleh, kata Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad.

Selain itu, beliau berkata ia juga berpunca daripada banyak pembukaan kawasan pertanian pindah di hulu Baleh oleh penduduk di sepanjang sungai berkenaan.

"Oleh itu apabila banjir besar berlaku ekoran hujan lebat dalam tempoh lama seminggu ini di kawasan hulu, maka semua sisa kayu hutan itu dibawa arus keluar ke sungai utama," katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian longgokan sisa-sisa kayu yang hanyut dari hulu Batang Baleh menyebabkan laluan sungai di sepanjang Batang Rajang terjejas.

Semalam, tular mengenai fenomena longgokan sisa-sisa kayu yang turut digelar oleh penduduk setempat sebagai 'apat', yang hanyut 'membanjiri' sungai Batang Rajang bermula dari Ulu Baleh sehingga ke kawasan Kapit, Song, Kanowit, Sibu dan seterusnya ke kawasan hilir yang lain.

Menurut Hamden, pembangunan di kawasan Empangan Hidroelektrik Baleh kini sedang rancak dijalankan dengan pembukaan hutan dalam fasa yang cepat sebelum keseluruhan kawasan berkenaan dijangka tenggelam seluruhnya menjelang 2024.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Hutan Sarawak sentiasa memantau supaya pembalakan di kawasan terbabit sentiasa mematuhi peraturan dan terkawal.

"Mungkin masih terlalu awal untuk memberi komen tentang penyebab insiden ini berlaku, sedangkan pasukan kami masih lagi berada di lapangan untuk mengumpul semua maklumat dan menilai situasi yang berlaku.

"Pembalakan biasa dan bersistematik adalah menggunakan kaedah RIL (reduce impact logging), kesan minima impak dan menebang hanya sejumlah pokok sahaja.

"Namun disebabkan tujuan pembersihan tanah bagi pembinaan empangan maka aktiviti tersebut adalah berlebihan dan kekerapan hujan yang tinggi telah menghanyutkan sisa-sisa kayu tersebut ke kawasan hiliran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 4:59 PM