Tinjauan udara menunjukkan kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat di kawasan Lanjak Entimau.
Tinjauan udara menunjukkan kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat di kawasan Lanjak Entimau.
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sisa balak yang hanyut di Sungai Katibas baru-baru ini bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan di hulu sungai berkenaan.

Sebaliknya Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Datuk Hamden Mohammad berkata, ia adalah sisa kayu mati dan pokok tumbang yang dihanyutkan dari kawasan tanah runtuh selepas hujan lebat.

Menurutnya, runtuhan tanah itu dikenalpasti berlaku di kawasan perlindungan hidupan liar Lanjak Entimau.

"Tidak mungkin sisa balak itu adalah akibat pembalakan kerana aktiviti itu dilarang di kawasan Lanjak Entimau yang dilindungi sepenuhnya.

"Tempat runtuhan itu adalah kawasan perlindungan Orang Utan yang terancam," katanya.

Hamden berkata, daripada imej satelit yang diambil Ahad lalu, mendapati sekurang-kurangnya kawasan 10 tanah runtuh dikesan di kawasan perlindungan itu yang berada dalam kawasan tadahan air Ulu Katibas.

"Berdasarkan data meteorologi dan hidrologi, intensiti hujan tinggi yang berlaku di kawasan tadahan boleh menyebabkan tanah runtuh di sepanjang anak Sungai Katibas iaitu Sungai Nyawai, Sungai Takai dan Sungai Kalimau Besar.

"Kami menghantar pasukan ke kawasan itu sejak minggu lalu untuk memantau keadaan bagi mengetahui apa yang berlaku dan mendapati saiz kawasan yang runtuh itu secara purata, adalah sebesar padang bola sepak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pengurusan Hutan Tropika Mampan, disini, hari ini.

Hamden berkata, pihaknya bersama pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) masih menjalankan tinjauan udara untuk menentukan tahap kemusnahan dalam kejadian semula jadi itu.

"Namun apa yang pasti, sisa kayu balak Sungai Katibas itu hampir sama dengan skala kejadian yang berlaku di Sungai Baleh pada 2010," katanya.

Sisa balak dari Sungai Katibas itu hanyut ke Sungai Rajang Ahad lalu menyebabkan penduduk di kawasan Song dalam Bahagian Kapit gempar.

Sehari selepas itu, sisa balak berkenaan kemudiannya memasuki satu lagi cabang Sungai Rajang iaitu Sungai Igan sehingga menyukarkan perjalanan bot kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 5:46 PM