Longgokan balak pelbagai spesis dan saiz yang dirampas JHS. FOTO Ihsan JHS
Longgokan balak pelbagai spesis dan saiz yang dirampas JHS. FOTO Ihsan JHS
Melvin Joni


Sibu: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya mematahkan kegiatan pembalakan haram di sini apabila merampas 717 balak pelbagai spesis dan saiz di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau.

Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata, rampasan dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasaan Pejabat Hutan Wilayah Sibu, selepas mengesan kegiatan itu semasa mengadakan rondaan di kawasan berkenaan, semalam.

"Pasukan penguatkuasaan yang terdiri daripada lapan anggota bergegas ke lokasi pembalakan haram itu dikesan.

"Apabila tiba, pasukan penguatkuasaan menjumpai tujuh longgok balak membabitkan 717 batang balak pelbagai spesis dan saiz dipercayai ditebang secara haram kerana tiada mempunyai tanda Tukul Jabatan Hutan (JH), Tukul Hak Milik dan Tag LPI (Log Production Identity) pada kedua hujung kayu balak berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan balak itu belum dapat dipastikan lagi sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

Katanya, laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Selangau mengenai rampasan kayu balak itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

"Satu kertas siasatan akan dibuka dalam waktu terdekat agar pihak yang terbabit tidak terlepas begitu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 11:34 PM