Mayat kanak-kanak lelaki  ditemukan dalam timbunan kayu. FOTO Ihsan JBPM
Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan dalam timbunan kayu. FOTO Ihsan JBPM
Roselan Ab Malek


Bentong: Satu mayat kanak-kanak lelaki belum dikenal pasti identiti ditemukan dalam timbunan kayu kira-kira 800 meter dari Bobby Eco Farm Resort, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan penyelamat menemui mayat mangsa pada 10.30 pagi tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan secara 'sweep searching' dan 'fan searching' di kawasan sisa-sisa kayu di kawasan pencarian Seksyen 3.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari timbunan kayu-kayu yang dihanyutkan arus dengan kaedah pemugaran dan pengalihan sisa-sisa kayu.

"Ia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR masih diteruskan bagi mencari mangsa yang masih hilang," katanya.

Menurutnya, seramai 35 orang membabitkan 25 individu dewasa dan lapan kanak-kanak menjadi mangsa banjir lumpur di pusat peranginan itu pada Sabtu lalu.

"Semalam mayat seorang wanita berusia 66 tahun ditemukan pada 10.15 pagi kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Katanya, operasi SAR berkenaan dibantu tiga anjing pengesan (K9) diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusri Abdullah Sani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 1:30 PM