GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi', Cyberjaya 10 yang terbabit dalam inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat kini boleh menerima jenazah pesakit Covid-19.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya sudah menyediakan 20 liang minggu ini dan menunggu arahan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menerima pengebumian jenazah mangsa Covid-19.

"Tanah perkuburan yang diurus dan ditadbirkan MPSepang itu dikendalikan oleh Unit Pengurusan Kubur Raudhatul Baqi' dan Jabatan Kesihatan Persekitaran MPSepang.

"Tanah perkuburan Fasa 1A seluas 1.89 hektar itu mampu memuatkan lebih 1,500 liang membabitkan kubur dewasa (zon empat hingga sembilan); kanak-kanak (zon dua hingga tiga) dan kubur anggota badan (zon satu).

"Waktu operasi pengebumian bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang," katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MPSepang di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat ini adalah sebagai usaha kerajaan Selangor mengurangkan masa pengurusan selain mengelak kesesakan jenazah dan mayat di beberapa hospital di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi', Cyberjaya 10 Fasa 1A itu antara tiga tanah perkuburan Islam di Selangor dalam inisiatif berkenaan selain Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang bagi menampung jumlah jenazah semakin banyak ketika ini.

Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi', Cyberjaya 10 akan menampung jenazah pesakit Covid-19 dari tiga hospital khususnya di Hospital Serdang, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Kajang.

Selain itu, Abd Hamid berkata, pihaknya di peringkat akhir menyiapkan krematorium di pekan Sepang bagi urusan pembakaran mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di daerah itu.

Katanya, krematorium itu dijangka beroperasi 5 Ogos ini membabitkan tiga sesi yang boleh menguruskan enam mayat pesakit Covid-19 dalam sehari," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan MPSepang akan mewujudkan Talian MPSepang Sejahtera bertujuan membantu golongan yang memerlukan sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk penyediaan bakul makanan kepada 900 penerima di daerah ini selain mengharapkan sumbangan daripada Ahli Majlis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluas jumlah penerima sumbangan.

Katanya, Talian MPSepang Sejahtera beroperasi bermula 2 Ogos ini antara jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala aplikasi WhatsApp pula dibuka 24 jam dan bantuan akan disalurkan dalam jangka masa 48 jam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 4:50 PM