ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menguruskan pengebumian 13 jenazah mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Bukit Kiara di sini, tadi.
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menguruskan pengebumian 13 jenazah mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Bukit Kiara di sini, tadi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Kebumikan deretan 13 jenazah mangsa covid-19 serentak dalam tempoh kurang dua jam.

Itu antara tugasan getir dilalui sekumpulan 32 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Tanah Perkuburan Bukit Kiara di sini, bermula jam 5 petang tadi.

Turut menarik tumpuan apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Hj Norhafifi Ismail turut berada di dalam liang lahad untuk menyambut serta mengebumikan jenazah mangsa pesakit covid-19.

Tugasan pengurusan jenazah itu dilakukan dengan pantas oleh anggota APM Wilayah Persekutuan berikutan jumlah jenazah yang ramai selain waktu menghampiri azan maghrib.

Norhafifi berkata, tugasan turut dibantu sukarelawan Sungai Pencala itu memerlukan semua petugas memakai pakaian perlindungan diri

(PPE) dengan sempurna bagi mengelak dijangkiti virus covid-19.

Menurutnya, dia memastikan pemakaian PPE penuh kepada semua anggota APM yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

"Sebaik 13 ambulans membawa jenazah mangsa covid-19 tiba di tanah perkuburan ini, kami segera mengangkat dan mengusungnya ke liang lahad masing-masing.

"Tugas dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan semua jenazah selamat disemadikan dengan sempurna walaupun tanpa kehadiran waris mangsa.

"Saya turut bersimpati dengan ahli keluarga mangsa yang hanya dibenarkan melihat proses pengebumian dari jauh dalam waktu terhad," katanya.

Difahamkan, secara purata seramai 30 hingga 40 jenazah mangsa Covid-19 dikebumikan setiap hari di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara di sini, susulan peningkatan kes Covid-19.

"Tugas fardu kifayah menguruskan pengebumian diamanahkan kepada APM ini dilakukan setiap hari. Ia bagi memastikan setiap jenazah mangsa beragama Islam segera diuruskan dengan sempurna selepas dibenarkan keluar dari hospital," katanya.

Turut berada di tanah perkuburan bagi menguruskan jenazah adalah Pengarah APM Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Effendy Ali.

Difahamkan beliau turut mengambil kesempatan memberikan kata-kata semangat kepada anggota APM bertugas selain taklimat penugasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 10:19 PM