GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching : Kes jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta di negeri ini dikesan meningkat secara mendadak.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr David Perera berkata, kadar pengesanan keseluruhan kini mencecah lebih 73 peratus daripada 50 peratus yang dilaporkan pada 3 Ogos.

Beliau berkata, bagi Bahagian Kuching sahaja, kadar pengesanan varian Delta adalah kira-kira 90 peratus.

"Varian itu juga terus dikesan di Bau, Lundu, Kota Samarahan, Simunjan, Miri dan Bintulu.

"Selain itu, kami turut mengesan enam varian Delta di Sibu," katanya dalam laporannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Menurutnya, pada 10 Ogos, sejumlah 249 Varian Prihatin (VOC) tambahan dan Varian of Interest (VOI) dikesan daripada 338 kes positif Covid-19 di negeri ini.

"Dari VOC / VOI itu, 248 adalah Varian Delta (B.1.617.2) manakala satu kes VOI Indonesia yang dikesan di Bintulu," katanya.

Menurutnya lagi, sehingga kini, sejumlah 592 VOC / VOI terkumpul dikesan di Sarawak daripada kes positif Covid-19 pada 10 Ogos.

Secara keseluruhannya, 521 kes varian Delta dikesan dengan Kuching mencatatkan 354 kes, Samarahan (67), Serian (60), Bintulu (16), Sibu (8), Miri (8), Sri Aman (6), Betong (1) dan satu kes import.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 10:45 AM