GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Jangkitan varian Delta Covid-19 di Sarawak semakin membimbangkan dan sudah merekodkan 93 kes dari Mei hingga Julai ini.

Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, kes paling banyak dikesan di Kuching iaitu 69 kes, diikuti Samarahan (10 kes), Serian (6 kes), Sri Aman (5 kes), Miri (2 kes) dan Sibu (1 kes).

"Daripada jumlah itu, satu merupakan kes import A, empat kes import B dari Semenanjung Malaysia, lapan kes dikesan dalam kalangan tahanan polis dan imigresen di Kuching, Sri Aman dan Serian manakala selebihnya adalah kes jangkitan tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, kes varian Delta sudah dikesan di beberapa lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuching seperti PKPD Kampung Astana Lot dan Sungai Bedil Besar, PKPD Kampung Seratau, PKPD Emperoh Nyiru Grait dan PKPD Kampung Bintawa Hilir.

Katanya, kes turut dikesan dalam kalangan kes-kes kluster aktif seperti Kluster Sentosa 2, Kluster Salak Land, Kluster Sungai Bedil Besar, Kluster KM23 Jalan Puncak Borneo, Kluster Pagar Satok, Kluster Jalan Tasik Biru By-Pass, Kluster Duyoh, Kluster Pagar Serian, Kluster Tembok Sri Aman 2 dan Kluster Lorong Perlis Empat Miri.

Mohamed berkata, sehingga kini tiada kes kematian dilaporkan dalam kalangan kes varian Delta berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:13 PM