GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 119 lagi kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan VOC itu menjadikan jumlah keseluruhan varian berkenaan di negara ini adalah 409 kes.

Beliau berkata, varian itu dikesan berikutan kajian berterusan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan serta Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Daripada jumlah yang dikesan itu, sebanyak 106 kes adalah varian jenis B.1.617.2 atau Delta, 10 kes adalah varian jenis B.1.351 atau Beta serta tiga kes lagi adalah varian Alpha (B.1.1.7).

"Secara keseluruhan, sehingga kini bagi varian Beta terdapat 206 kes, Delta (189 kes) dan Alpha (14 kes), manakala bagi varian mempunyai kepentingan (VOI) terdapat 13 kes varian Theta,empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI sebanyak 429 kes. Daripada jumlah yang dinyatakan itu, 409 kes adalah VOC dengan 20 kes pula VOI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara tu, memperincikan mengenai 106 kes yang dijangkiti VOC Delta itu, Dr Noor Hisham berkata 76 kes dikesan di Sarawak, Selangor (10), Pahang (lapan), Johor (empat), Kuala Lumpur (tiga) dan masing-masing satu kes di Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Selain itu, bagi 10 kes VOC Beta tiga kes dikesan di Perak, masing-masing dua kes di Johor dan Pulau Pinang serta masing-masing satu kes dikesan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang manakala kesemua tiga kes VOC Beta yang dikesan ialah di Selangor.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, peningkatan kes mendadak di negara ini disebabkan penyebaran varian baharu Delta yang kini sudah merebak hampir di setiap negeri.

Beliau berkata, varian berkenaan merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara lima hingga lapan berbanding virus Covid-19 pertama yang dikesan di Wuhan, China dengan nilai Rt sekitar 2.5 hingga 3.

Varian Delta itu pertama kali dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu. Sehingga kini ia sudah merebak lebih 100 negara termasuk Malaysia nak mencetuskan gelombang jangkitan Covid-19 yang semakin berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 2:17 PM