Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Kehilangan mata pencarian membuat bekas pekerja hotel tekad menawarkan khidmat p-hailing bagi meneruskan kelangsungan hidup ketika negara terus bergelut dengan pandemik Covid-19.

Malah, Ahmad Faizal Ishak, 40, juga pernah di Unit Pemakanan Atlet di Majlis Sukan Negara (MSN), tetapi akibat cabaran getir masa kini membuatkannya mengubah cara menjana pendapatan.

Berbekal pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dia yang berbincang dengan rakan-rakan bersepakat untuk menawarkan perkhidmatan p-hailing sejak dua bulan lalu.

"Saya akui perkhidmatan ditawarkan ini agak perlahan kerana ramai yang tidak tahu selain terpaksa bersaing dengan perkhidmatan p-hailing lain.

"Ketika ini, kami menawarkan perkhidmatan p-hailing di sekitar daerah Kubang Pasu dan diikuti di Arau, Perlis," katanya ketika ditemui di Bandar Darulaman, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, dia mempunyai 10 pekerja terdiri penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan lepasan sekolah yang berminat untuk bekerja dalam bidang itu.

TIGA pekerja p-hailing HaloDelivery yang berkhidmat menjalankan tugas penghantaran makanan kepada pelanggan di Kubang Pasu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
TIGA pekerja p-hailing HaloDelivery yang berkhidmat menjalankan tugas penghantaran makanan kepada pelanggan di Kubang Pasu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Katanya, syarat pemilihan pekerja juga ditetapkan iaitu mengutamakan solat, berdisiplin dan sabar dengan karenah pelanggan.

"Konsep perniagaan yang kami lakukan adalah membeli semua hasil jualan peniaga tak kira perniagaan apa sekali pun termasuk di tepi jalan dengan bayaran tunai.

"Ketika ini, kita bercadang menambah perkhidmatan di daerah lain seperti Alor Setar, Padang Terap, Pendang, Langkawi di Kedah serta di Padang Besar, Perlis," katanya.

Katanya, sebagai individu yang kerap bertemu dengan orang ramai, dia sering menasihatkan pekerjanya supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika berurusan dengan pelanggan.

"Lebih-lebih lagi pelanggan yang dikuarantin di rumah akibat Covid-19, pekerja saya akan menghubungi pelanggan terlebih dahulu malah jika ada yang positif dan dikuarantin, kami akan meletak makanan di tempat selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 6:39 PM