Faris Fuad

Kuala Lumpur: Seramai 50 pesakit kategori empat dan lima ditempatkan di wad rawatan Covid-19 di parkir tingkat bawah yang dijadikan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, di sini.

Ketua Unit Kawalan Jangkitan HAT Tuanku Mizan Dr Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal berkata, pihaknya menjangka kemasukan 100 lagi pesakit Covid-19 kategori tiga di wad itu secara berperingkat bermula esok.

"Pesakit Covid-19 dimasukkan ke sini atas keputusan Kementerian Kesihatan (KKM). Setakat ini, kebanyakan pesakit dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Kita kekurangan kakitangan perubatan dan setakat ini kita hanya ada 50 orang bertugas di wad pesakit Covid-19 yang beroperasi sejak Sabtu lalu.

"Di wad unit rawatan rapi (ICU), kita ada kapasiti empat katil namun di situ ditempatkan enam pesakit Covid-19. Kita jangka terima lagi 17 katil di ICU," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan 20 kipas industri dari Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Nasional (Sarjana) di lobi HAT Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

KHAIDIRAH  (kanan) melakukan penyerahan kipas industri kepada Dr Sharifah Azlin Juliana untuk kegunaan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KHAIDIRAH (kanan) melakukan penyerahan kipas industri kepada Dr Sharifah Azlin Juliana untuk kegunaan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Jumaat lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dilaporkan berkata, DMZ hospital itu disediakan untuk menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Affendi dipetik berkata, penyediaan DMZ itu digerakkan dengan bantuan KKM dan Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA).

Sementara itu, Pengerusi Sarjana, Datuk Khaidiriah Abu Zahar, berkata sumbangan kipas itu bertujuan meringankan beban hospital dan memberi keselesaan kepada pesakit.

"Sumbangan itu juga sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah sepanjang tugasan dan pengoperasian dalam berhadapan penularan pandemik Covid-19.

"Diharapkan sumbangan ini dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan untuk terus kekal tabah menjalankan tugas demi bakti kepada bangsa dan negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:25 PM