Sultan Ibrahim Iskandar. Foto Ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Iskandar. Foto Ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM5 juta bagi membeli peralatan keperluan hospital di negeri ini dalam menangani pandemik Covid-19.

Menerusi hantaran di Facebook (FB) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah, ketika ini kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dengan bilangan jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan turut meningkat.

Titahnya, sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting dalam memastikan sistem kesihatan hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk merawat pesakit Covid-19.

"Kita perlu menangani pandemik Covid-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan di mana peralatan-peralatan perubatan ini dapat disampaikan kepada hospital.

"Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah lagi, rakyat di negeri itu yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing.

"Sejak April tahun lalu, ribuan bantuan barangan keperluan makanan disampaikan kepada rakyat menerusi YSIJ di semua daerah," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan.

Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di talian 07-2355252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor di talian 07-3564848.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 8:48 AM