Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya sedih kehilangan tempat bergantung," kata Adli Adnan, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau, di sini, yang kematian bapanya, Adnan Rawi, 58, akibat jangkitan Covid-19.

Adli yang menetap di Taman Kelab Tuanku Mambau, di sini, berkata, pandemik itu meragut nyawa bapanya secara tiba-tiba pada akhir Jun lalu selepas kira-kira seminggu menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban.

Menurutnya, bapanya bekerja di sebuah kilang di Nilai, dekat sini, dikesan dijangkiti Covid-19 pada pertengahan Jun.

"Saya bersama empat ahli keluarga lain termasuk ibu (Siti Aida Sharif, 48) tidak dijangkiti wabak itu namun menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dan dipakaikan gelang.

"Kami juga tidak dapat melawat bapa di hospital. Bapa dirawat selama tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kami sekeluarga terkejut dan sedih dengan berita itu kerana kehilangan tempat bergantung," katanya ketika ditemui di SMK Mambau di sini, hari ini.

Adli berkata, dia terkilan kerana tidak dapat bersalaman dengan bapanya ketika hendak dibawa ke HTJ.

ADLI Adnan menerima sumbangan barangan daripada Jafri Muskiman di SMK Mambau, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
ADLI Adnan menerima sumbangan barangan daripada Jafri Muskiman di SMK Mambau, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil

"Lebih sayu apabila saya juga tida dapat menatap wajahnya buat kali terakhir ketika arwah dikebumikan," katanya memberitahu, kakak sulungnya kini mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga.

Sementara itu, Muhammad Zulhaizat Othman, 17, pula kehilangan ibu tersayang, Siti Aminah Ahmad, 52, akibat jangkitan Covid-9 yang meninggal dunia 6 Jun lalu selepas enam hari menerima rawatan di HTJ.

"Saya dan ahli keluarga kini sentiasa berwaspada dan patuh SOP bagi mengelak tragedi itu berulang dalam keluarga," katanya.

Adli dan Muhammad Zulhaizat antara 40 pelajar dari keluarga B40 menerima bantuan barangan dapur pada Majlis Penyampaian Bantuan Covid-19 anjuran Persatuan Amal dan Kebajikan Al-Baasith Negeri Sembilan (Al-Baasith NS) dengan kerjasama pengurusan SMK Mambau serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 3:43 PM