Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang wanita bukan saja berdepan dugaan berat apabila kehilangan suami, malah dia pula ditimpa kemalangan di tempat kerja yang menyebabkan pergelangan kaki kanannya patah.

Nurul Aida Raduan, 31, dari Taman Kelab Tuanku Mambau dekat sini, berkata kemalangan itu berlaku pada 3 Disember lalu di tempat kerjanya di sebuah pasar raya di di Seremban di sini.

Ibu tunggal yang juga pekerja am pasar raya itu berkata, pergelangan kaki kanannya patah akibat dihempap kotak barangan.

"Saya terlantar di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selama dua minggu malah menjalani pembedahan di bahagian buku lali serta dimasukkan besi. Malah terpaksa mengambil cuti sakit hingga kini.

"Saya bergantung kepada bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM900 sebulan untuk membesarkan tiga anak, Muhammad Rizman Irfan Norizman, Nurul Qristina, dan Muhammad Qhasya Riezman yang masing-masing berusia 11, 10 dan lapan tahun," katanya.

Dia ditemui di rumahnya pada kunjungan Pengerusi Persatuan Amal dan Kebajikan Negeri Sembilan (Al-Baasith NS) Khairul Nizam Khairuddin hari ini.

Buat permulaan, Al-Baasith NS memberi bantuan bayaran sewa rumah RM900 untuk tiga bulan selain makanan asas pada setiap bulan selama enam bulan.

AIDA Raduan bersama tiga anaknya menatap keratan akhbar Harian Metro yang memaparkan insiden menimpa suaminya Norizman Ismail. FOTO Mohd Amin Jalil
AIDA Raduan bersama tiga anaknya menatap keratan akhbar Harian Metro yang memaparkan insiden menimpa suaminya Norizman Ismail. FOTO Mohd Amin Jalil

Nurul Aida berkata, banyak cabaran perlu dihadapinya terutama dalam membesarkan tiga anak yang masih bersekolah.

Balu kepada Norizman Ismail yang juga pelumba motosikal Cub Prix Petronas Malaysia itu berkata, anak sulungnya menghidap lelah sejak kecil dan memerlukan perhatian.

Menurutnya, dia tidak boleh melakukan kerja berat namun reda dengan dugaan dihadapi.

Fokusnya adalah untuk membesar tiga anak walaupun dalam keadaan serba berkurangan.

"Jika difikirkan memang tidak mencukupi kerana saya perlu bayar sewa rumah RM300 dan bil utiliti lain. Saya perlu berjimat dan beli barangan penting sahaja.

"Anak-anak faham dengan situasi ini selepas kehilangan bapa. Mereka juga tidak cerewet dalam soal makan dan makan apa yang ada," katanya.

Bagaimanapun, Nurul Aida berterima kasih di atas bantuan disumbang Al-Baasith NS.

"Terima kasih atas sumbangan ini. Ia memang membantu mengurangkan beban saya. Saya harap dapat bekerja secepat mungkin untuk menyara keluarga," katanya.

Mengimbas kejadian yang menimpa arwah suaminya, Nurul Aida berkata, kejadian berlaku ketika arwah dalam sesi ujian masa CP150 Kejohanan AAM Malaysian Cub Prix Petronas di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu pada 5 Mei 2017.

Katanya, penganjur kejohanan memaklumkan, Norizman yang menunggang untuk pasukan OneXoX TKKR Racing ketika itu terjatuh di selekoh menyebabkannya cedera.

"Arwah segera diberi rawatan kecemasan dan dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 4:25 PM