TEETUDUH diiringi polis di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf pada dua keretanya. FOTO Ihsan pembaca.
TEETUDUH diiringi polis di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf pada dua keretanya. FOTO Ihsan pembaca.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato' - Dato' Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf pada dua keretanya, Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Suraya Ibrahim, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato'-Dato' Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf di bawah Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (mencegah daripada disalah guna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/ 1977) dengan meletakkan pada dua kereta yang digunakan iaitu Mercedes Benz dan BMW.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Bawah Lembah Bunut Payong di sini, pada 25 Jun 2022.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5B(5) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Disalahguna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/1977) yang boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan di penjarakan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Yusoff Abdullah.

Terdahulu, Abu Arsalnaa mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM70,000 bagi pertuduhan itu.

Muhammad Yusoff memohon mahkamah membenarkan jaminan paling minimum kerana anak guamnya tidak bekerja, mempunyai penyakit darah tinggi kronik, selain sudah berpisah dengan suami.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 2:22 PM