Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Enam penjawat awam antara 68 individu dipercayai sedang khayal ketika ditahan polis di sebuah pusat hiburan sekitar kawasan bandar raya ini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dijalankan sekitar 1.30 pagi itu membawa kepada penahanan kesemua individu berusia 17 hingga 45 tahun, selain rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM151,765.

Katanya, enam penjawat awam yang ditahan itu berusia antara 26 hingga 43 tahun, selain ketika serbuan dijalankan, mereka sedang khayal, ada di antara mereka sedang berhibur, mengambil dadah dan minum minuman keras.

"Difahamkan, mereka ini pernah ditahan bagi kes berkaitan dadah. Sebelum ini, dua daripadanya ditahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas.

"Siasatan ambil masa sedikit dan kita akan ambil tindakan (apabila ditanya sama ada akan dibuang kerja). Ketika kejadian, mereka tidak bertugas (off duty)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dikenali dengan panggilan 'doktor' yang juga pembekal dadah ke pusat-pusat hiburan.

Katanya, semakan rekod mendapati premis yang beroperasi 24 jam itu tanpa lesen hiburan awam yang sah dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

"Rampasan merangkumi 2.46 kilogram serbuk ekstasi, 45 pil ekstasi, 27 pil eramin 5, 10.5 gram syabu, 27 gram ganja dan satu gram ketamin, selain wang tunai RM1,092 termasuk sitaan sebuah kereta BMW dengan nilai keseluruhan RM297,857.

"Hasil saringan air kencing mendapati 41 individu positif dadah jenis ampethamine, methamphetamine dan ketamin," katanya.

AYOB Khan ketika sidang media hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan ketika sidang media hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Ditanya mengenai penjawat awam yang ditahan itu, Ayob Khan tidak mahu menjelaskannya dengan lebih terperinci.

"Cukuplah sekadar penjawat awam. Apabila dituduh di mahkamah, (wakil media) ambillah gambar mereka kalau mahu siarkan.

"Tetapi sehingga belum dituduh, jangan kongsikan. Saya sedang jalankan siasatan susulan," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama media untuk berhati-hati mendedahkan maklumat berkaitan tangkapan berkaitan penjawat itu dalam kes itu.

"Ada sesetengah maklumat boleh dikeluarkan, ada yang tidak boleh. Memandangkan ini operasi susulan, perlu ada pengesahan.

"Kita ada peraturan, kita ada SOP, kalau ada sebarang keraguan, rujuk kepada saya," katanya.

Katanya, kesemua individu yang ditahan direman enam hari bermula semalam hingga 12 Ogos ini.

"Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya, Akta Imigresen, Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 3:48 PM