Long Tiger dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas dua pertuduhan mengugut dan mengurung bekas pekerjanya pada bulan lalu. Foto Essa Abu Yamin
Long Tiger dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas dua pertuduhan mengugut dan mengurung bekas pekerjanya pada bulan lalu. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Tangkak: Lelaki Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas dua pertuduhan ugutan bunuh dan mengurung bekas pekerjanya bulan lalu.

Tertuduh yang nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham.

Mengikut kertas pertuduhan pertama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Abdul Hamim didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Luqman Hakim Othman, 21, dengan tujuan hendak mendatangkan cedera parah dan niat menyebabkan kegentaran kepada mangsa.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala bagi mengikut pertuduhan kedua mengikut Seksyen 342 kanun sama, dia didakwa dengan salah sudah mengurung mangsa sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di nombor 169, Tingkat 1, Jalan Gambir 7 Bandar Baru Bukit Gambir, Tangkak kira-kira jam 6 petang hingga 7.05 malam pada 12 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin dan Muhammad Azfar Mahmod tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira tertuduh dibimbangi boleh mengganggu saksi utama pendakwaan selain mengambil kira kepentingan awam.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali, Muhammad Hariz Md Yusof dan Muhammad Noor Azfar Noor Azmi bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan mengambil kira tertuduh adalah penanggung utama keluarga.

Selain itu, isteri tertuduh yang kini hamil anak kedua mereka juga sedang menjalani rawatan psikiatri dan sekiranya ditahan ia akan memberi kesan besar kepada keluarganya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Long Tiger pernah mencetuskan beberapa kontroversi sehingga membangkitkan kemarahan netizen termasuk memfitnah pegawai polis melalui sesi siaran langsung di Facebook.

Tertuduh turut akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar pada petang ini atas pertuduhan merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 3:14 PM