Long Tiger dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini bagi pertuduhan merogol seorang wanita dua tahun lalu. FOTO  ESSA ABU YAMIN
Long Tiger dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini bagi pertuduhan merogol seorang wanita dua tahun lalu. FOTO ESSA ABU YAMIN
Essa Abu Yamin


Muar: Selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Tangkak, Long Tiger dihadapkan pula di Mahkamah Sesyen Muar di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita dua tahun lalu.

Bagaimanapun lelaki Rohingya yang nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, tidak mengaku salah selepas pertuduhan mengikut seksyen 376(1) kanun keseksaan itu dibacakan di hadapan Hakim Amran Jantan.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Hamim didakwa merogol seorang wanita berusia 21 tahun itu di sebuah rumah di Taman Sri Jaya Bukit Gambir, Tangkak pada 26 September 2019 antara jam 1 petang hingga 2.05 petang.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar dan Muhammad Azfar Mahmod dalam prosiding mencadangkan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan mengambil kira pembebasan tertuduh yang dikhuatiri boleh mengganggu saksi utama pendakwaan selain isu kepentingan awam.

Bagaimanapun, barisan peguam yang mewakili tertuduh terdiri daripada Datuk Shaharudin Ali, Muhammad Hariz Md Yusof dan Muhammad Noor Azfar Noor Azmi memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan mengambil kira tertuduh sebagai penanggung utama keluarga.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport serta tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, Long Tiger tidak mengaku salah atas dua pertuduhan ugut bunuh dan mengurung bekas pekerja di Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 5:17 PM