ANTARA peralatan yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
ANTARA peralatan yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tiga individu warga tempatan yang diupah mengendalikan pusat judi dalam talian ditahan dalam serbuan serentak di dua kondominium di Jalan Wangsa Kuarza, Wangsa Maju, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketiga-tiga mereka adalah pekerja di kediaman yang dijadikan pusat judi dalam talian itu.

Menurutnya, semua suspek disyaki operator yang diupah untuk mengendalikan pusat itu dan akan membuat panggilan sebagai salah satu cara mempromosikan perjudian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial.

"Kediaman ini disewa sebanyak RM2,000 sebulan dan mula beroperasi sekitar awal tahun ini. Dalam serbuan ini, polis merampas pelbagai peralatan termasuk tiga monitor komputer, tiga pemprosesan komputer (CPU), 56 telefon bimbit, router dan modem.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000t dan tidak lebih dari RM50,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.

"Selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesen judi yang dirampas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, polis akan menggandakan usaha dan melaksanakan tindakan berterusan bagi membanteras kegiatan judi dalam talian ini.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu dan sindiket yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan haram ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 4:38 PM