Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, iaitu tidak lewat dari 9 Ogos ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, ia berasaskan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Katanya, penangguhan sehingga September adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen.

"Ini kerana kami mengambil kira keadaan pandemik yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak Covid-19 yang terus meningkat begitu tinggi setiap hari, situasi ekonomi yang terus lesu, dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang.

"Jadi, kami berpendirian usul undi percaya itu wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekali gus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Datuk Seri Madius Tangau (UPKO), Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) dan Dr Mazszlee Malik dari Bebas.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya dilapor berkata, keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan di Parlimen yang akan bersidang pada September ini.

Muhyiddin dipetik berkata, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 5:55 PM