DEWAN Rakyat. FOTO BERNAMA
DEWAN Rakyat. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanyalah satu proses mengukuhkan sokongan bukan menentukan keabsahannya.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, proses berkenaan bukan bertujuan mengesahkan atau memberikan keabsahan kepada lantikan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebaliknya tindakan itu bagi mengukuhkan kerajaan.

"Undi percaya bukan menjadikan perkenan baginda atas lantikan Perdana Menteri itu sah kerana kuasa perkenan baginda tidak perlu disahkan atau dipertikaikan mana-mana pihak termasuk Parlimen.

"Walaupun baginda menitahkan supaya undi percaya dibuat, tindakan itu bagi mengukuhkan kerajaan kemungkinan selepas mengambil kira situasi politik selepas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengambil langkah bagi mengukuhkan kedudukan dan mengambil tauladan daripada apa yang berlaku kepada kerajaan pimpinan terdahulu.

"Walaupun ia bukan wajib (undi percaya), titah baginda baik untuk kerajaan, hatta ia hanya adat perlembagaan," katanya.

Sementara itu, Profesor Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Zaid Ahmad berpandangan, perundingan antara pembangkang dan kerajaan adalah langkah terbaik bagi menangani masalah negara.

"Duduk berbincanglah dengan ketua pembangkang. Sampai capai ke tahap mereka boleh tawarkan dua atau tiga kerusi menteri dalam kalangan pembangkang dengan mendapatkan persetujuan ketua pembangkang dan majlis presiden parti pembangkang.

"Maknanya mereka hantar wakil dalam Kabinet untuk sama-sama menangani masalah negara misalnya isu Covid-19, ekonomi dan pendidikan.

"Dengan cara itu, bagi saya kedudukan Perdana Menteri akan jauh lebih kukuh dan tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa," katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat usul undi percaya terhadap Ismail Sabri di Parlimen tidak perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah bertitah Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 3:15 PM