TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Aizuddin Saad
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Aizuddin Saad
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengulangi pendirian semua parti dalam blok pembangkang termasuk Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin depan untuk memutuskan usul undi tidak percaya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendakwa Perdana Menteri tidak bercakap benar dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap, semalam.

Ia selepas pimpinan PH membuat perkiraan yang teliti bersama rakan dari parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan bersama, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng berkata, perkara itu boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

"Tindakan menangguhkan undi tidak percaya sehingga bulan September adalah amat tidak wajar. Isu sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin dan kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional mesti diputuskan sekarang.

"Selagi mana ia ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan.

"Raja-raja sudah bertitah pada 16 Jun lalu betapa pentingnya kerajaan stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat," katanya.

Menurutnya, rakyat terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik Covid-19 termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari sekali gus mewajibkan mereka menyelesaikan masalah ini sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 12:20 PM